Saturday 21 January 2012

BERPANTANG EMPAT PULUH EMPAT HARI


Selama empat puluh empat hari, dikira dari hari pertama bersalin, adalah diadatkan kepada ibu tersebut untung menjalani pantang. Ini bererti ibu tersebut ditegah daripada makan sebarangan mengikut kehendaknya atau membuat apa-apa jua kerja rumahtangga, walaupun bangun berjalan meninggalkan tempat tidurnya. Selepas tujuh hari barulah ibu tersebut dibenarkan berjalan sedikit-sedikit, itu pun hanya di dalam rumahnya sahaja. Pantang ini adalah dianggap suatu perkara yang penting sekalipun ibu tersebut merasakan yang dia sudah boleh membuat sebarang aktiviti seperti biasa dilakukan. Ketika dalam berpantang, ibu tersebut akan dikehendaki memakai stoking atau membalut kakinya dengan kain bagi mengelakkan angin memasuki badan. Di dahinya pula akan dilumurkan ubat yang bertujuan menarik angin keluar dari badan.
Berpantang bukan sahaja melibatkan pemakanan dan kesihatan diri ibu tersebut. Si suami juga tidak digalakkan untuk meniduri isterinya ketika si isteri sedang berpantang. Ini kerana dalam tempoh berpantang, si isteri akan berasa lemah badan dan sakit ketika bersalin masih belum hilang sepenuhnya. Selain itu, isteri juga akan mengalami darah nifas yang hanya keluar selepas bersalin dan keadaan ini menimbulkan rasa kurang selesa bagi isteri untuk didatangi suaminya.
Di antara ubat yang dipakai dan dimakan oleh ibu bersalin biasanya adalah ubat yang diberikan oleh tok bidannya sahaja. Selain daripada ubat yang dimakan dan dipakai, ibu tersebut juga akan menjalani kaedah bertungku (tuam) di perutnya sehari sekali selama tempoh pantangnya. Ada sesetengah bidan menggantikan kerja-kerja bertungku dengan berdiang. Ibu-ibu akan diberikan makanan yang boleh mendatangkan sumber darah di dalam badannya bagi menggantikan darah yang telah banyak hilang semasa bersalin, contohnya limpa dan hati. Makanan tersebut juga akan dimasak mengikut cara tertentu yang boleh membantu menghilangkan angin di dalam badan dan mengecutkan segala urat saraf yang telah mengembang. Ibu-ibu juga biasanya dinasihatkan memakan jamu yang dapat memulihkan semula tenaga dan memperbaiki tekstur dan bentuk tubuh badan mereka seperti sediakala.
Namun begitu, bagi masyarakat sekarang, bersalin di hospital adalah lebih selamat dan mudah. Walaubagaimanapun, pantang larang selepas bersalin akan tetap diamalkan dalam masyarakat Melayu untuk menjamin kesihatan ibu tersebut.

BERSALIN


BERSALIN
Setelah kandungan genap bilangan bulan dan harinya iaitu sembilan bulan sembilan hari pada perkiraan orang tua-tua zaman dahulu, dan saat untuk melahirkan pun sudah hampir maka segala kelengkapan seperti beras, kelapa dan damar, akan disediakan sama seperti ketika upacara melenggang perut dijalankan. Setelah selesai bersalin, beras, damar dan kelapa semuanya akan diberikan kepada tok bidan di samping wang sebanyak $5.00 jika anak sulung, $3.25 jika anak yang kedua, manakala anak yang ketiga bayarannya sama seperti anak sulung dan begitulah seterusnya.
Menurut kepercayaan orang tua-tua dahulu kala, ada sejenis hantu atau syaitan yang kononnya , suka datang pada masa perempuan bersalin kerana hendak memakan darah perempuan itu. Oleh sebab kepercayaan yang sedemikian, maka telah menjadi adat bagi masyarakat Melayu untuk menggantung secekak daun mengkuang yang berduri di bawah rumah, betul-betul pada tempat pembaringan ibu yang baru bersalin itu. Daun tersebut dipercayai dapat menjadi penghalang atau menegah hantu daripada datang menghampiri tempat itu. Begitu juga telah menjadi adat untuk mencalitkan pangkah dengan kapur yang disertai dengan jampi serapah di muka pintu bilik atau rumah tempat ibu yang baru bersalin tersebut tinggal. Bukan itu sahaja, di tengah-tengah dahi bayi yang baru lahir itu turut dicalitkan dengan tanda pangkah yang dibuat daripada minyak yang telah dicampurkan dengan serbuk arang kayu dan dijampi. Ini semua dilakukan dengan harapan hendak menjauhkan bayi itu daripada dirasuk atau diganggu oleh hantu syaitan.
Apabila bayi tersebut berusia genap tujuh hari, kenduri secara kecil-kecilan akan diadakan sebagai tanda kesyukuran menerima ahli keluarga baru dan kedua-dua ibu dan anak berada dalam keadaan yang selamat.

MELENGGANG PERUT


MELENGGANG PERUT
Adat melenggang perut kebanyakannya lebih difahami masyarakat Melayu di selatan semenanjung manakala di sebelah utara semenanjung lebih dikenali dengan panggilan kirim perut. Adat ini ialah suatu adat yang dijalankan ke atas seorang isteri yang telah genap tujuh bulan hamil dan ia bertujuan untuk meletakkan kedudukan bayi di dalam perut di tempat yang sepatutnya, iaitu bahagian kepala di pintu rahim. Ini penting bagi memudahkan si ibu bersalin dan bayi tidak kelemasan di dalam perut. Maka pada masa itu, bidan akan dipanggil untuk memeriksa dan menentukan isteri yang hamil itu betul-betul telah genap tujuh bulan hamil atau belum cukup bulan lagi. Jika didapati sudah genap tujuh bulan isteri itu hamil, maka mulailah bidan itu diupah untuk melangsungkan adat melenggang perut ini. Kelengkapan yang mustahak perlu disiapkan untuk menjalankan adat ini. Antara kelengkapan tersebut disediakan adalah seperti berikut:
•  Tujuh helai kain yang berlainan warna.
•  Satu gantang beras.
•  Sebiji buah kelapa.
•  Beberapa urat benang.
•  Satu batang damar.
•  Sedikit minyak kelapa atau minyak urut.
•  Beberapa batang lilin.
•  Satu tepak sirih, yang lengkap dengan isinya.
•  Pengeras wang sebanyak lima suku ($1.25) di dalam tepak itu.
Setelah semua barang tersebut disediakan, tok bidan akan menjalankan adat melenggang perut seperti berikut:
Mula-mula tok bidan membentangkan ketujuh-tujuh helai kain berwarna itu secara melintang sehelai demi sehelai. Ibu yang hamil itu akan dibaringkan di atas lapisan-lapisan kain tersebut. Kemudian, perut ibu itu akan diurut dengan minyak kelapa atau minyak urut secara perlahan-lahan.
Selepas itu, kelapa yang sudah dikupas tersebut akan diguling-gulingkan secara perlahan-lahan di atas perut ibu itu ke atas dan ke bawah sebanyak tujuh kali dan pada kali yang ketujuh itu, kelapa itu akan dilepas serta dibiarkan jatuh bergolek daripada perut ibu itu sambil diperhatikan oleh tok bidan itu. Tok bidan akan memerhatikan bagaimana kedudukan muka atau mata kelapa itu setelah berhenti bergolek. Jika mata kelapa itu menghala ke atas, ibu itu akan beroleh anak lelaki, dan jika ia menghala ke bawah, anak perempuan akan dilahirkan.
Setelah itu, sebelah tangan tok bidan akan memegang satu hujung kain lapisan atas sekali dan dengan tangannya yang sebelah lagi, dipegangnya hujung yang satu lagi. Kemudian kain itu diangkatnya sedikit sambil dilenggang-lenggangkan badan ibu itu. Dari sinilah terbitnya panggilan Lenggang Perut itu. Selepas itu, kain itu ditarik keluar daripada bawah badan ibu tersebut. Perbuatan ini akan dilakukan sehingga habis ketujuh-tujuh helai kain itu dikeluarkan dari bawah pinggang ibu tersebut. Kain yang di bawah sekali akan diberikan kepada tok bidan bersama-sama dengan kelapa, beras, damar, sirih pinang beserta dengan wang pengeras lima suku di dalam tepak sirih itu.
Biasanya, pada hari melenggang perut akan diadakan kenduri kecil-kecilan yang akan dihadiri oleh orang tua-tua dan kaum keluarga yang rapat. Pada masa kenduri itu berlangsung, si ibu yang akan melenggang perut itu akan dipakaikan dengan pakaian yang baru dan cantik.

AKAD NIKAH


Menghantar belanja dan akad
Pada zaman silam, istiadat menghantar mas kahwin dan belanja perkahwinan diadakan sehari atau dua (kekadang lebih lama) sebelum upacara akad, tetapi kini diadakan bersama-sama, mungkin untuk mengurangkan perbelanjaan. Selain daripada mas kahwin dan belanja perkahwinan tersebut, barang-barang yang berikut juga dihantar:
  1. cincin yang bertatahkan batu permata
  2. kain sutera yang mencukupi untuk menjahit sehelai baju perempuan
  3. dua helai sarung sutera
  4. beraneka jenis kuih
  5. beraneka jenis buah-buahan
  6. puan (mangkuk sirih) atau kotak sirih yang dilengkapi dengan bahan-bahan (ini bukannya hadiah tetapi akan dipulangkan)
  7. satu atau dua buah cerek air mawar yang diperbuat daripada logam perak atau loyang (juga akan dipulangkan).
Kesemua barang tersebut mengiringi perarakan pengantin lelaki ke rumah pengantin perempuan untuk melangsungkan upacara perkahwinan. Untuk upacara akad, pengantin lelaki pada zaman silam memakai pakaian haji atau pakaian bangsa Melayu yang mudah. Upacara akad sebenarnya adalah satu-satunya istiadat yang diperlukan oleh agama Islam dan undang-undang untuk menghalalkan perkahwinan. Upacara-upacara amal yang lain hanya merupakan keperluan adat resam.
Pada ketibaan perarakan pengantin lelaki ke rumah pengantin perempuan, anggota-anggota perarakan disambut masuk ke rumah. Pengantin lelaki berduduk di atas sehelai tikar sila di bahagian utama ibu rumah, berdekatan imam. Barang-barang yang dibawanya dibariskan di tengah ibu rumah antara dua baris tetamu yang berduduk, dengan wang belanja, cincin, serta puan di hadapan baris.
Imam kemudian memilih dua orang wakil daripada tetamu-tetamu untuk menerima dan menyemak hantaran, serta untuk menjadi saksi kepada upacara akad nikah. Selepas barang-barang itu disemak dan diterima oleh imam bagi pihak ibu bapa pengantin perempuan, kesemua barang itu, kecuali puan serta cerek air mawar dan dulang bunga rampai (jika disediakan), dihantar kepada kaum perempuan. Imam kemudian mendaftarkan nama pengantin lelaki ke dalam sebuah buku, dan selepas kemasukan itu ditandatangani oleh pengantin lelaki serta kedua-dua saksi tersebut, imam akan membaca upacara perkahwinan dalam bahasa Arab (bagaimanapun, pada hari ini, sebilangan besar imam Melayu yang bersikap wajar membaca upacara dalam bahasa yang difahami oleh pengantin lelaki dan para hadirin). Pada akhir upacara, imam memegang tangan kanan pengantin lelaki dan mengisytiharkan kenyataan akad kepadanya, mula-mulanya dalam bahasa Arab (tidak wajib) dan kemudian dalam bahasa Melayu:
"... bin ..., aku nikahkan dikau dengan ... binti ... yang telah memperwakili ia akan daku dengan mas kahwinnya sebanyak $... (tunai/berhutang) dan belanjanya $..."
Adat resam mengizinkan mas kahwin dihutang dengan tarikh pembayarannya tidak disebut. Oleh itu, imam akan menambahkan perkataan "berhutang" atau "tunai" sejurus selepas menyatakan jumlah mas kahwin dalam kenyataan akadnya. Imam kemudian berjabat tangan dengan pengantin lelaki sebagai tanda untuknya menjawab tanpa teragak-agak atau kesilapan:
"Aku terima nikahnya ... binti ... dengan mas kahwinnya $... (tunai/berhutang) dan belanjanya $..."
Jika jawapan pengantin lelaki disebut dengan tidak teragak-agak serta dengan jelas kepada mereka yang duduk berdekatannya, khususnya oleh kedua-dua saksi, jadi upacara akad dikira sah.
Selepas upacara akad, pengantin lelaki akan berjabat tangan dengan semua tetamu, bermula dengan imam dan bapa mertuanya, jika dia menghadiri majlis itu. Pengantin lelaki diiringi balik ke rumahnya dan tetamu-tetamu, baik lelaki mahupun perempuan, dihidangkan dengan jamuan yang terdiri daripada kari dan nasi minyak.
Pada waktu yang sama, majlis pengantin perempuan akan menyediakan nasi pengantin dan menghantarnya kepada pengantin lelaki di rumahnya. Pengantin lelaki akan menjemput beberapa kawan yang paling rapat untuk bersarapan bersama-sama.

Thursday 12 January 2012

Pantun Peminangan


Pucuk pauh ditepi permatang
buah berangan rasanya lazat
daripada jauh kami datang
datang dengan seribu hajat

buah beragan rasanya lazat
mari dibawa dari Rokan
kalau ada maksud dan hajat
nyawa dan badan kami serahkan

mari dibawa dari Rokan
berserta pula dengan halwa
jika nyawa badan serahkan
tidak terpisahkah jiwa dan raga

berserta pula dengan halwa
dengan ulam pucuk pegaga
jika tak berpisah jiwa dan raga
bagaimana kita nak masuk surga