Thursday 15 December 2011

DIFTONG

Diftong pula kelihatan hampir sama dengan vokal berganding namun vokal tersebut dibunyikan serentak, seperti perkataan 'amboi' disebut [am.boi] bukan disebut [am.bo.i]. Diftong dalam bahasa Melayu terdiri daripada [oi], [au] dan [ai].

/ai/: kedai, pandai
/au/: kerbau, aura
/oi/: dodoi, amboi

Perlu diingat bahawa perkataan 'gulai' yang disebut [gu.lai] tidak sama dengan [gu.la.i] kerana [gu.lai] menggunakan diftong [oi] manakala [gu.la.i] adalah kata dasar 'gula' yang menerima pengimbuhan akhiran [-i].

Selain itu, diperkenalkan juga diftong /ei/ dari kata pinjaman, contohnya, Mei, esei.
Diftong dibezakan dari "vokal rangkap" iaitu geluncuran dua vokal yang bersebelahan dalam dua suku kata, contohnya:
/a-i/: kain
/a-u/: laut

VOKAL BERGANDING

Vokal dalam bahasa Melayu terdiri daripada [a], [e], [e], [i], [o] dan [u]. Vokal [e] terdiri daripada e taling dan e pepet.

Vokal bergading boleh ditemui dalam kebanyakan perkataan bahasa Melayu seperti perkataan 'taat', 'saat', 'muat', 'buat', 'kain', 'sains', dan sebagainya. Cara penyebutannya kelihatan seperti terasing dan agak janggal, namun lidah Melayu memudahkannya dengan sekali sebut tetapi seperti terdapat huruf tertentu ditambah di antara gandingan vokal tersebut. Sebagai contoh, perkataan 'laut' tidak akan disebut sebagai [la.ut] tetapi kedengaran seperti adanya penambahan /w/ dalam sebutan tersebut menjadi [la.wut]. Tetapi perlu diingat bahawa cara mengejanya tetap 'laut', dan salah jika dieja sebagai 'lawut'. Ini turut menjelaskan bahawa perkataan tersebut mempunyai dua suku kata bukan satu suku kata. Contohnya perkataan dibawah ini  jika dilafazkan dengan cepat, bunyinya seakan-akan diftong.
/ia/: meriah
/iu/: liur
/ua/: luar
/ui/: kelui

Masalah akan timbul apabila kita kurang membaca atau kurang terdedah dengan perkataan yang mengandungi vokal berganding ini, kerana dikhuatiri akan menambah huruf tertentu kerana terpengaruh dengan sebutan daripada penutur jati, seperti perkataan 'kuih' mungkin dieja sebagai 'kuwih' disebut [ku.wih].

SINGAPURA DILANGGAR TODAK

Pada suatu pagi di Temasek ( sekarang Singapura), nelayan mula pergi ke pantai untuk menangkap ikan tetapi orang di situ mula bergegas lari ke tengah daratan. Beberapa ekor ikan todak telah mula menyerang Temasek. Ramai orang di situ mula melarikan diri. Tetapi ada juga orang yang tersungkur kerana ditikam ikan todak. Seorang demi seorang tersungkur dan ikan todak yang banyaknya terus menyerang sana sini. Peristiwa itu turut memeranjatkan Sri Maharaja, (Raja Temasek pada ketika itu) kerana ramai bilangan rakyat di situ telah terkorban. Lantas, baginda segera mengarahkan pengawalnya menyediakan seekor gajah tunggangan raja dan terus ke tempat kejadian. Serangan Ikan Todak ini dikatakan mula berpunca daripada tindakan Sri Maharaja yang telah menghukum bunuh Tun Jana Khatib (merupakan seorang alim dan warak dalam menyampaikan ajaran Islam di bumi Temasek, namun tindakan dakwahnya itu ditolak oleh Sri Maharaja dan penduduk kampung).
Di kawasan pantai (tempat kejadian dikenali sekarang sebagai Pantai Tanjong Pagar)yang penuh dengan mayat bergelimpangan terdampar, baginda telah mula berasa amat tertekan. Maka Sri Maharaja  mengarahkan orang yang ada disitu untuk terus ke tepi pantai berbaris, lalu dijadikan betis masing-masing sebagai pedinding dari serangan ikan todak. Namun usahanya gagal. Seorang demi-seorang daripada mereka mati ditikam oleh ikan todak. Semua orang berada dalam ketakutan dan mereka menyangka tiada harapan lagi untuk bertahan. Keadaan ini membuatkan Sri Maharaja bertambah murka dan seraya mendakwa sesiapa yang lari akan dikira sebagai penderhaka kepada raja yang akan ditimpa tulah(musibah).
Maka ada seorang kanak-kanak yang berusia 7 tahun yang bijaksana bernama Hang Nadim. Beliau terus pergi untuk menghadap raja yang berdiri di situ. Sri Maharaja terus mengemukakan cadangan lain kepada Hang Nadim. Maka ada cadangan yang baik dari Hang Nadim bahawa elok jika dibariskan batang pisang untuk dijadikan kubu pertahanan. Akhirnya baginda bersetuju dengan cadangan Hang Nadim itu, lalu mengarahkan orang yang ada di situ untuk terus meninggalkan pantai untuk mencari batang pisang bagi dijadikan kubu. Orang yang ada di situ terus gembira apabila titah baginda disambut dengan penuh sorakan dan mula meninggalkan pantai. Mereka terus ke kebun pisang untuk mencari batang pisang lalu dibawa ke pantai. Beberapa jam kemudian batang-batang pisang yang ada di situ terus dijadikan kubu. Kubu akhirnya siap dalam masa yang terdekat.
Tidak lama kemudian kebanyakan ikan todak telah menyerang semula dan akhirnya ikan todak telah tersangkut pada batang pisang. Rakyat Temasek yang melihat kejadian itu disambut dengan penuh kegembiraan dan sorakan penuh. Apabila ikan todak berhenti menyerang orang ramai yang ada di situ mula ke pantai lalu membersihkan ikan todak itu. Temasek akhirnya bebas dari serangan ikan todak. Baginda telah memuji kejayaan Hang Nadim menumpaskan ikan todak lalu baginda menjemput Hang Nadim ke istana untuk menerima anugerah daripadanya.
Sementara itu di istana, kebanyakan pembesar berasa iri hati dan mula berasa benci dengan kebijaksanaan dan populariti Hang Nadim kerana pada pengamatan mereka, apabila Hang Nadim sudah dewasa nanti, beliau mungkin akan diangkat tinggi dan kebarangkalian Hang Nadim akan merampas kuasa baginda raja dan memerintah Singapura pada suatu hari nanti.
Para pembesar yang iri hati telah berjaya menghasut Sri Maharaja dengan berita fitnah tersebut. Baginda yang mudah percaya akan dakwaan tersebut telah mengarahkan pembesar supaya membatalkan istiadat penganugerahan dan diganti dengan perlaksanaan hukuman bunuh.
Dengan mengucap salam ke atas ibunya, Hang Nadim mula pergi ke istana untuk menghadiri istiadat penganugerahan, tetapi sejurus sampainya ke istana, beliau mula merasakan ada yang tidak kena apabila pengawal istana terus menangkap Hang Nadim. Keadaan menjadi tegang apabila beliau bukannya ke balai penghadapan tetapi diseret ke tengah halaman. Tanpa berlengah masa lagi baginda mengarahkan petanda supaya melaksanakan hukuman bunuh ke atas budak itu. Hang Nadim mula menjerit kesakitan apabila ditikam oleh sebilah keris lalu mati. Namun terdapat dakwaan bahawa Hang nadim tidak dibunuh secara tikaman, tetapi dicampakkan ke dalam laut dan dibiarkan Hang Nadim mati lemas. Akhirnya Hang Nadim telah menemui ajalnya di dalam laut akibat khianat pada umur semuda tujuh tahun.
Petunjuk:
1.  Dalam Hikayat Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu , Hang Nadim adalah seorang kanak-kanak lelaki Melayu yang mempunyai kebijaksanaan yang tinggi dalam menyelamatkan Temasek daripada serangan sekumpulan besar ikan todak.; bahasa Inggeris: (swordfish).
2. Ikan todak/ikan marlin; bahasa Inggeris: (swordfish).
3. Nama lama bagi Singapura ialah Temasek.  Orang sekarang menyebutnya Singapore:)
4. Tulah,perkataan yang digunakan oleh Raja,yang membawa maksud lebih kurangnya musibah. 
5. Lapangan Terbang Hang Nadim di Batam, Indonesia dinamakan sempena nama budak pintar tersebut.
6. Korvet Kelas Laksamana Tentera Laut Diraja Malaysia KD Hang Nadim dinamakan bersempena Laksamana Hang Nadim.
7. Kerana ketiadaan budak pintar seperti Hang Nadim,Singapura terlepas daripada Tanah Melayu:(






Saturday 10 December 2011

Hikayat Bayan Budiman



Hikayat Bayan Budiman merupakan salah satu manuskrip tulisan tangan Melayu yang ditulis dalam bahasa Melayu. Teks terawal diterjemahkan oleh Kadi Hassan pada 773 H (1371 M), yang menurut MCP, mengandungi 69,761 patah perkataan. Hikayat Bayan Budiman merupakan satu hikayat yang telah mengalami perjalanan yang panjang baru sampai ke bahasa Melayu, iaitu pada tahun 1600 M. Cerita ini pada mulanya merupakan sebuah hikayat tua Hindu yang bernama Sukasaptati (Cerita-Cerita Bayan). Cerita ini disalin dengan beberapa pengubahsuaian ke bahasa Parsi dengan nama yang baru, iaitu Tuti Nameh oleh Nakhshabi. Terjemahannya yang lain terdapat juga dalam bahasa Turki dan bahasa Hindustan.
Salinan cerita-cerita bayan yang termasyur ini ada empat namanya dalam bahasa Melayu, iaitu Hikayat Bayan Budiman, Hikayat Khoja Maimun, Hikayat Khoja Mubarrak dan Cerita Taifah.

Petikan Hikayat Bayan Budiman seperti yang berikut:-
Adalah seorang saudagar di negeri Istanbul; maka ia pergi belayar. Hatta, beberapa lamanya sudah ia pergi itu, maka peninggalnya isteri saudagar itu pun bermukahkah dengan kalandar. Sebermula, adapun akan saudagar itu ada ia menaruh seekor burung bayan. Kemudian tiada berapa lamanya, maka saudagar itu pun datanglah dari belayar itu, tetapi diketahuinya juga oleh saudagar itu dengan pengetahuannya sendiri akan pekerjaan isterinya itu. Maka tiadalah baik rasa hatinya saudagar itu akan isterinya, pada sehari-hari ia berbantah juga.
Cerita yang menjadi bingkai Hikayat Bayan Budiman ini ialah berkenaan kisah seorang saudagar bernama Khoja Maimun dengan isterinya yang amat cantik Bibi Zainab nama-nya, serta dua ekor burung, iaitu seekor burung tiung dan seekor lagi burung bayan.
Pada suatu masa Khoja Maimun telah pergi ke sebuah negeri lain kerana berniaga; isterinya ditinggalkannya ber­sama-sama dengan kedua ekor burung itu. Sepeninggalan Khoja Maimun pergi berniaga ke negeri lain itu, maka ter­sebutlah kisah pada suatu hari tatkala Putera Mahkota negeri itu sedang berangkat mengedari kota, tiba-tiba terpandanglah ia kepada wajah isteri Khoja Maimun yang cantik itu; maka terikatlah rasa cinta berahi antara kedua pihak. Putera Mahkota ingin bertemu muka dan bercumbu-cumbuan dengan isteri saudagar itu lalu diminta­nyalah supaya perempuan itu datang keistananya pada waktu malam.
Sesungguhnya, bahawa kewajipan dan kehormatan tidak ada makananya di sisi seseorang yang diharu nafsu berahi, maka demikianlah halnya pada suatu malam isteri Khoja Maimun itu pun berhias diri dengan tujuan akan pergi; tetapi terlebih dahulu ia telah mendapatkan burung tiung bertanyakan fikiran sambil menyatakan maksudnya itu lalu burung tiung memberi nasihat serta mengingatkan perempuan itu dengan cara berterus terang. Hikayat Bayan Budiman meriwayatkan peristiwa ini demikian:
Setelah sudah isteri Khoja Maimun mendengar kata tiung maka ia pun terlalulah marah, katanya, "Kerana (laknat) bagimu! Tiada engkau tahu akan hal hati orang berahi? Kusangkakan engkau ada menaruh timbang rasa, kerana sama perempuan." Maka disentakkannya tiung itu dari dalam sangkarannya lalu dihempaskannya ke bumi. Maka tiong itu pun matilah.
Setelah dilihat oleh bayan kelakuan Bibi Zainab membunuh tiung itu tiada dengan semena-menanya, maka ia pun mendiamkan dirinya, pura-pura tidur. Maka Bibi Zainab pergilah mendapatkan bayan serta dibangunkannya. Maka bayan pun pura-pura terkejut, seraya katanya, "Apakah pekerjaan tuan datang kemari dengan malam kelam ini?"
Dalam pada itu bayan pun mencari akal bagi menahan isteri tuannya daripada melajakkan niatnya yang cemar itu dengan tidak mencela-cela perbuatannya, melainkan dengan jalan bercerita. Maka lekalah isteri Khoja Maimun mendengar cerita bayan yang amat menarik hatinya itu, hingga tiada jadi ia pergi. Cerita-cerita itu pula makin lama semakin banyak mengalirkan kias nasihat yang halus dan dalam ertinya, terutama sekali mengenai: kaum perempuan.
Demikianah halnya setiap malam-malam bersambut pagi bayan menghabiskan sebanyak tujuh puluh cerita­nya. Segala isi cerita-cerita itu memberi insaf kepada isteri Khoja Maimun, sehingga pulihlah semula rasa setianya kepada suaminya dan lenyaplah segala niat hati­nya hendak melakukan perbuatan cemar itu sampai suami­nya kembali.

SELOKA


Seloka ialah puisi tradisional Melayu yang berbentuk bebas yang tidak mempunyai bentuk tertentu dari segi rangkap, jumlah baris, sama ada mempunyai irama ataupun tidak. Antara ciri seloka adalah mengejek, menyindir secara serius atau jenaka mahupun mengkritik tingkah laku dan sifat negatif seseorang ataupun sekelompok masyarakat.

Menurut Kamus Dewan edisi ke-4, seloka ialah sejenis puisi yang mengandungi ajaran seperti sindiran mahupun jenaka. Kata seloka berasal dari bahasa Sanskrit iaitu ‘Sloka’. Seloka kebiasaannya ditulis dua atau empat baris dan terkadang seloka juga ditulis lebih dari empat baris. Satu ciri penting bagi seloka adalah ia mempunyai maksud mengejek, menyindir secara serius atau jenaka, mengkritik tingkah-laku dan sifat negatif.

Masyarakat Melayu mencipta seloka untuk mencerminkan rasa tidak puas hati mereka terhadap seseorang yang digambarkan melalui seloka. Seperti Seloka Pak Kaduk diterjemahkan sebagai cerita yang memberi iktibar kepada segenap lapisan masyarakat dahulu dan sekarang bahawa Pak Kaduk bernasib malang akibat daripada kejahilan dirinya sendiri.

Antara contoh seloka yang terdapat dalam kesusteraan Melayu lama termasuklah Seloka Pak Kaduk, Seloka Pak Pandir dan Seloka Emak Si Rendang.
Seloka Pak Kaduk

    Aduhai malang Pak Kaduk,
    Ayamnya menang kampung tergadai,
    Ada nasi dicurahkan,
    Awak pulang kebuluran,
    Mudik menongkah surut,
    Hilir menongkah pasang,
    Ada isteri dibunuh,
    Nyaris mati oleh tak makan,
    Masa belayar kematian angin,
    Sauh dilabuh bayu berpuput,
    Ada rumah bertandang duduk.

SYAIR


Syair tergolong dalam puisi tradisional yang merupakan peninggalan masyarakat lama yang terus hidup dan berperanan dalam masyarakat semasa. Syair terdiri daripada empat baris, dengan sanjak a,a,a,a. Setiap baris terdiri daripada 9, 10 atau 12 suku kata. Keempat-empat baris ini merupakan sebahagian daripada sebuah puisi yang agak panjang. Fungsi syair adalah untuk menyampaikan cerita dan pengajaran dan digunakan juga dalam kegiatan-kegiatan yang berunsur keagamaan.


Contoh Syair
Syair Bidasari
Sebuah syair romantis yang mengisahkan tentang Bidasari yang rupawan menjadi mangsa cemburu Permaisuri Indrapura.

Syair surat al-qiyamah
Disalin pada tahun 1306H. [1888M.]
Sebuah syair berbentuk keagamaan yang menceritakan tentang keadaan hari kiamat, nikmat di syurga dan seksa di neraka.

Syair Siti Zubaidah
Sebuah syair bercorak romantis yang mengisahkan tentang kesetiaan, ketabahan dan keberanian seorang wanita bernama Siti Zubaidah yang telah berusaha sedaya upaya untuk menjejaki dan membebaskan suaminya yang di dalam tawanan.

Syair Sultan Abdul Muluk
Disalin oleh Morset Subinder Malun Rabflis di Kampung Lebach (?), Kolombo, [Sri Lanka]. Kitab asal ditulis oleh Raja Ali Haji. Menceritakan bagaimana Sultan Abdul Muluk yang ditawan oleh Sultan Hindustan diselamatkan oleh isterinya, Siti Rafiah.

Syair Pertuanan Alif
Disalin oleh Muhammad Yusuf pada hari Jumaat, bulan Rabiulakhir. Sebuah syair berbentuk keagamaan yang antara lainnya membicarakan mengenai makrifat Islam.