Thursday, 12 January 2012

Adat Peminangan


Sebelum meneruskan majlis pertunangan dan pernikahan, terlebih dulu tepak sirih dibawa ke rumah mempelai perempuan untuk tujuan meminang. Penuh dengan santun dan budi bahasa, tepak sirih lengkap dengan isi dibalut dalam kain songket sebelum diserahkan kepada keluarga perempuan.  Keluarga perempuan yang menerima pinangan itu akan membuka balutan songket dan mula memakan daun sirih bersama pinang, gambir, tembakau, cengkih dan kapur yang diisi di dalam cembul tepak sirih.
Mengikut sejarah, pada zaman awal Kesultanan Melayu Perak, ada dua buah tepak sirih yang diperbuat dari emas diberi nama Puan Bujur dan Puan Naga Taru. Alat berkenaan dijadikan sebagai alat kebesaran diraja atau regalia dan masih tersimpan sebagai khazanah berharga istana Sultan Perak hingga kini. Ada juga beberapa bentuk tepak sirih dan masyarakat Melayu menamakan tepak sirih berbentuk bujur sebagai puan dan bentuk empat segi bujur sebagai tepak.
Di dalam tepak sirih terdapat enam cembul yang digunakan untuk menyimpan ramuan sirih seperti pinang, gambir, tembakau, cengkih dan kapur. Paling utama ialah daun sirih. Susunannya perlu betul bagi menunjukkan tertib ketika mengapur sirih.
Dalam tepak, sirih dilipat bersisip antara satu sama lain dan disamakan tangkainya serta disusun dalam satu baris.  Sirih wajib dilipat supaya mengelak daripada terlihat ekor sirih itu dan juga mengelak tanggapan sebagai kurang sopan dan tidak menghormati tetamu.
Tepak sirih yang lengkap diserikan dengan hiasan bunga segar dan dibungkus dengan kain songket. Tepak sirih seperti itu pula dinamakan tepak sirih adat.
Hantaran tepak sirih bukan sekadar memenuhi adat, tetapi ia adalah makanan berkhasiat untuk badan. Selain dikatakan wajib bagi pihak lelaki menghantar tepak sirih bersama hantaran lain untuk majlis pertunangan dan pernikahan, wanita juga perlu membalasnya dengan tepak sirih pada dua majlis itu. Cuma bezanya, pihak perempuan tidak memberi bingkisan tepak sirih ketika menerima pinangan daripada pihak lelaki.
Amalan memberi dan menerima tepak sirih masih dijalankan ketika majlis pertunangan dan pernikahan. Namun, kini, masyarakat bagaikan alpa dengan adat menghantar tepak sirih ketika merisik dan hanya menyerahkan sebentuk cincin belah rotan sebagai tanda.

Adat Berinai


Berinai dalam perkahwinan Melayu seakan menjadi kewajipan. Istiadat berinai adalah antara tradisi dalam perkahwinan Melayu yang boleh dikategorikan kepada tiga acara, iaitu berinai curi, berinai kecil dan berinai besar.Masyarakat dulu kala menggunakan inai pada kuku tangan dan kaki sebagai perhiasan kerana inai mempunyai keharuman bau asli selain untuk perubatan. Selain digayakan pada semua jari, jari kaki juga dianggap penting walaupun ketika ini kebanyakan pengantin sudah memakai kasut walaupun di dalam rumah. Ada juga kawasan tertentu yang mempunyai adat meletakkan inai pada bahagian tengah tapak tangan dan tapak kaki selain garisan setebal 1 cm di keliling kaki.  Inai lebih dikenali sebagai henna dalam bahasa Arab sementara Mehendi pula dalam Bahasa Hindi. Daun inai boleh didapati di Iran, Pakistan, Syria, Maghribi, Mesir, India dan juga Malaysia.
Mengikut sejarah, penggunaan inai ini bermula dari India yang diperkenalkan pada zaman Moghul. Ada juga fakta mengatakan penggunaan inai bermula dari Mesir. Budaya merantau yang diamalkan masyarakat dulu untuk tujuan perdagangan menyebabkan budaya memakai inai turut mempengaruhi masyarakat di kawasan yang dikunjungi.
Malaysia khususnya antara negara yang mendapat pengaruh berkenaan dan penggunaan inai kini sudah menjadi tradisi atau adat dalam perkahwinan masyarakat Melayu.  istiadat berinai adalah antara acara dalam perkahwinan Melayu yang dikategorikan kepada tiga iaitu berinai curi, berinai kecil dan berinai besar. 
Berinai curi dan berinai kecil dilakukan beberapa hari sebelum berlangsungnya hari perkahwinan.
Adat ini dilakukan untuk pengantin perempuan saja. Bahagian yang diinai ialah kedua tapak tangan, sepuluh jari tangan, bahagian kuku jari kaki dan keliling tapak kaki. Kemerahan inai boleh dijadikan sebagai tanda bahawa seseorang itu baru saja melangsungkan perkahwinan.
Berinai dalam perkahwinan Melayu adalah tidak wajib, tetapi ia bergantung kepada kehendak seseorang itu sama ada mahu ataupun tidak. Begitupun, bagi sebahagian masyarakat, digalakkan memakai inai untuk nampak lebih istimewa.
Sebelum menjelang majlis perkahwinan, biasanya inai akan dipakai sehari dua sebelum akad nikah atau majlis bersanding. Ia boleh bertahan lama sehingga tiga minggu, bergantung kepada cara penjagaan inai berkenaan.