Saturday, 10 December 2011

GURINDAM


Gurindam adalah salah satu puisi Melayu lama. Gurindam dikatakan berasal dari perkataan India dan dibaca dengan lagu tersendiri, dan berbeza jika dibandingkan dengan lagu syair Melayu. Puisi gurindam mempunyai kata-kata nasihat dan kebiasaannya mempunyai rima akhir yang sama.Antara gurindam yang mahsyur ialah ‘Gurindam 12 Raja Ali Haji’.



Contoh Gurindam Nasihat
Apabila banyak berkata-kata,
Di situlah jalan masuk dusta.

Apabila kita kurang siasat,
Itulah tanda pekerjaan hendak sesat.

Apabila anak tidak dilatih,
Jika besar bapanya letih.

Apabila banyak mencela orang,
Itulah tanda dirinya kurang.

Apabila orang banyak tidur,
Sia-sia sahajalah umur.

Rendodoi


Masyarakat Melayu sememangnya dikenali sebagai bangsa yang kaya dengan adat resam dan budaya. Masyarakat Melayu dahulu juga pandai meluahkan rasa kasih sayang kepada anak-anak mereka dalam bentuk lagu. Lagu dicipta dalam bentuk puisi dan dinyanyikan dengan tujuan mengulit anak (maksud, mengulit – lagu yang didendangkan untuk menidurkan anak).

Dodoi pula bermaksud lagu yang dinyanyikan untuk menghiburkan dan menidurkan bayi supaya cepat terlena. Lagu ini dicipta dan dinyanyikan secara spontan mengikut emosi dan imaginasi ibu atau bapa. Oleh itu kata-kata dipilih dan disusun supaya menjadi puisi yang indah dan menarik serta mengandungi nilai-nilai moral atau seni kata yang sesuai dengan bayi.

Puisi ini akan dinyanyikan dengan gaya, nada dan ritma yang merdu. Puisi yang pendek dan padat akan menjadikan nyanyian dodoi itu indah, merdu dan sedap didengar bukan sahaja dari segi iramanya tetapi juga puitisnya.

    Seni kata Dodoi Suriram

   Suriram, suriram ram ram
    Suriram yang manis
    Aduhai anakku sayang
    Suriram jantung hatiku

    Tinggilah tinggi siMatahari
    Suriram
    Anak kerbau mati tertambat
    Suriram
    Sudahlah lama ibu mencari, sayang
    Baru sekarang ibu mendapat

    Suriram, suriram ram ram
    Suriram yang manis
    Aduhai anakku sayang
    Suriram jantung hatiku

    Suriram, suriram ram ram
    Suriram yang manis
    Aduhai anakku sayang
    Suriram jantung hatiku

Pantun


Bahasa memainkan peranan penting dalam menyampaikan sesuatu hasrat dan bahasa yang baik akan dapat difahami maksud  sama ada bahasa yang tersurat dan tersirat. Bahasa yang tersurat adalah yang tertulis dan dapat difahami secara terus, manakala bahasa tersirat adalah maksud yang berlapis dan mempunyai makna yang lain.

Begitulah, pantun yang dahulu biasanya disampaikan sewaktu orang Melayu berkebun, bersawah, serta mengadakan majlis merisik, meminang dan nikah kahwin.  Pantun sebati dengan adat dan budaya kehidupan masyarakat Melayu. Ia terangkum dalam pantun adat dan resam manusia, agama dan kepercayaan, nasihat dan pendidikan, kembara dan perantauan dan percintaan. Pantun sangat kaya dengan nilai-nilai keindahan bahasa jika dikaji dan dihayati.

Bahasa dalam pantun juga terdapat dua maksud antaranya maksud tersurat dan juga tersirat. Tetapi pada kebiasaannya pada pembayang atau sampiran pantun ia banyak menggunakan bahasa tersurat dan dalam maksud atau makna ia membawa dan menggunakan bahasa yang tersirat. Bahasa khususnya Bahasa Melayu nilainya amat tinggi tidak boleh dijual beli, seperti kata pantun di bawah ini:

                      Anak Cina bertimbang madat,
                             Dari Makasar langsung ke Deli;
                      Hidup di dunia biar beradat,
                             Bahasa tidak dijual beli.
                    
                      Makan sirih berpinang tidak,
                             Pinang ada di bawah tangga;
                      Makan sirih mengenyang tidak,
                             Tapi tanda budi dan bahasa.

                      Tingkap papan kayu bersegi,
                              Sampan sakat di Pulau Angsa;
                       Indah  tampan kerana budi,
                              Tinggi bangsa kerana bahasa.

 Hakikatnya, bahasa yang indah sangat penting dalam penciptaan pantun-pantun Melayu. Tanpa bahasa yang indah, pantun yang dikarang atau dibacakan tidak terasa keindahannya. Oleh itu, para pencipta pantun dan pemantun zaman lampau sangat bijaksana memilih kata-kata tentang penggunaan bahasa yang berkaitan dengan alam, kehidupan, adat istiadatdan budaya masyarakat Melayu. Melalui pemerhatian yang teliti, penelitian yang rapi serta pengalaman baharullah sesebuah pantun itu dicipta dengan fikiran yang bijaksana.