Saturday 21 January 2012

BERSALIN


BERSALIN
Setelah kandungan genap bilangan bulan dan harinya iaitu sembilan bulan sembilan hari pada perkiraan orang tua-tua zaman dahulu, dan saat untuk melahirkan pun sudah hampir maka segala kelengkapan seperti beras, kelapa dan damar, akan disediakan sama seperti ketika upacara melenggang perut dijalankan. Setelah selesai bersalin, beras, damar dan kelapa semuanya akan diberikan kepada tok bidan di samping wang sebanyak $5.00 jika anak sulung, $3.25 jika anak yang kedua, manakala anak yang ketiga bayarannya sama seperti anak sulung dan begitulah seterusnya.
Menurut kepercayaan orang tua-tua dahulu kala, ada sejenis hantu atau syaitan yang kononnya , suka datang pada masa perempuan bersalin kerana hendak memakan darah perempuan itu. Oleh sebab kepercayaan yang sedemikian, maka telah menjadi adat bagi masyarakat Melayu untuk menggantung secekak daun mengkuang yang berduri di bawah rumah, betul-betul pada tempat pembaringan ibu yang baru bersalin itu. Daun tersebut dipercayai dapat menjadi penghalang atau menegah hantu daripada datang menghampiri tempat itu. Begitu juga telah menjadi adat untuk mencalitkan pangkah dengan kapur yang disertai dengan jampi serapah di muka pintu bilik atau rumah tempat ibu yang baru bersalin tersebut tinggal. Bukan itu sahaja, di tengah-tengah dahi bayi yang baru lahir itu turut dicalitkan dengan tanda pangkah yang dibuat daripada minyak yang telah dicampurkan dengan serbuk arang kayu dan dijampi. Ini semua dilakukan dengan harapan hendak menjauhkan bayi itu daripada dirasuk atau diganggu oleh hantu syaitan.
Apabila bayi tersebut berusia genap tujuh hari, kenduri secara kecil-kecilan akan diadakan sebagai tanda kesyukuran menerima ahli keluarga baru dan kedua-dua ibu dan anak berada dalam keadaan yang selamat.

No comments:

Post a Comment