Saturday, 10 December 2011

Hikayat Bayan Budiman



Hikayat Bayan Budiman merupakan salah satu manuskrip tulisan tangan Melayu yang ditulis dalam bahasa Melayu. Teks terawal diterjemahkan oleh Kadi Hassan pada 773 H (1371 M), yang menurut MCP, mengandungi 69,761 patah perkataan. Hikayat Bayan Budiman merupakan satu hikayat yang telah mengalami perjalanan yang panjang baru sampai ke bahasa Melayu, iaitu pada tahun 1600 M. Cerita ini pada mulanya merupakan sebuah hikayat tua Hindu yang bernama Sukasaptati (Cerita-Cerita Bayan). Cerita ini disalin dengan beberapa pengubahsuaian ke bahasa Parsi dengan nama yang baru, iaitu Tuti Nameh oleh Nakhshabi. Terjemahannya yang lain terdapat juga dalam bahasa Turki dan bahasa Hindustan.
Salinan cerita-cerita bayan yang termasyur ini ada empat namanya dalam bahasa Melayu, iaitu Hikayat Bayan Budiman, Hikayat Khoja Maimun, Hikayat Khoja Mubarrak dan Cerita Taifah.

Petikan Hikayat Bayan Budiman seperti yang berikut:-
Adalah seorang saudagar di negeri Istanbul; maka ia pergi belayar. Hatta, beberapa lamanya sudah ia pergi itu, maka peninggalnya isteri saudagar itu pun bermukahkah dengan kalandar. Sebermula, adapun akan saudagar itu ada ia menaruh seekor burung bayan. Kemudian tiada berapa lamanya, maka saudagar itu pun datanglah dari belayar itu, tetapi diketahuinya juga oleh saudagar itu dengan pengetahuannya sendiri akan pekerjaan isterinya itu. Maka tiadalah baik rasa hatinya saudagar itu akan isterinya, pada sehari-hari ia berbantah juga.
Cerita yang menjadi bingkai Hikayat Bayan Budiman ini ialah berkenaan kisah seorang saudagar bernama Khoja Maimun dengan isterinya yang amat cantik Bibi Zainab nama-nya, serta dua ekor burung, iaitu seekor burung tiung dan seekor lagi burung bayan.
Pada suatu masa Khoja Maimun telah pergi ke sebuah negeri lain kerana berniaga; isterinya ditinggalkannya ber­sama-sama dengan kedua ekor burung itu. Sepeninggalan Khoja Maimun pergi berniaga ke negeri lain itu, maka ter­sebutlah kisah pada suatu hari tatkala Putera Mahkota negeri itu sedang berangkat mengedari kota, tiba-tiba terpandanglah ia kepada wajah isteri Khoja Maimun yang cantik itu; maka terikatlah rasa cinta berahi antara kedua pihak. Putera Mahkota ingin bertemu muka dan bercumbu-cumbuan dengan isteri saudagar itu lalu diminta­nyalah supaya perempuan itu datang keistananya pada waktu malam.
Sesungguhnya, bahawa kewajipan dan kehormatan tidak ada makananya di sisi seseorang yang diharu nafsu berahi, maka demikianlah halnya pada suatu malam isteri Khoja Maimun itu pun berhias diri dengan tujuan akan pergi; tetapi terlebih dahulu ia telah mendapatkan burung tiung bertanyakan fikiran sambil menyatakan maksudnya itu lalu burung tiung memberi nasihat serta mengingatkan perempuan itu dengan cara berterus terang. Hikayat Bayan Budiman meriwayatkan peristiwa ini demikian:
Setelah sudah isteri Khoja Maimun mendengar kata tiung maka ia pun terlalulah marah, katanya, "Kerana (laknat) bagimu! Tiada engkau tahu akan hal hati orang berahi? Kusangkakan engkau ada menaruh timbang rasa, kerana sama perempuan." Maka disentakkannya tiung itu dari dalam sangkarannya lalu dihempaskannya ke bumi. Maka tiong itu pun matilah.
Setelah dilihat oleh bayan kelakuan Bibi Zainab membunuh tiung itu tiada dengan semena-menanya, maka ia pun mendiamkan dirinya, pura-pura tidur. Maka Bibi Zainab pergilah mendapatkan bayan serta dibangunkannya. Maka bayan pun pura-pura terkejut, seraya katanya, "Apakah pekerjaan tuan datang kemari dengan malam kelam ini?"
Dalam pada itu bayan pun mencari akal bagi menahan isteri tuannya daripada melajakkan niatnya yang cemar itu dengan tidak mencela-cela perbuatannya, melainkan dengan jalan bercerita. Maka lekalah isteri Khoja Maimun mendengar cerita bayan yang amat menarik hatinya itu, hingga tiada jadi ia pergi. Cerita-cerita itu pula makin lama semakin banyak mengalirkan kias nasihat yang halus dan dalam ertinya, terutama sekali mengenai: kaum perempuan.
Demikianah halnya setiap malam-malam bersambut pagi bayan menghabiskan sebanyak tujuh puluh cerita­nya. Segala isi cerita-cerita itu memberi insaf kepada isteri Khoja Maimun, sehingga pulihlah semula rasa setianya kepada suaminya dan lenyaplah segala niat hati­nya hendak melakukan perbuatan cemar itu sampai suami­nya kembali.

No comments:

Post a Comment