Saturday 10 December 2011

SELOKA


Seloka ialah puisi tradisional Melayu yang berbentuk bebas yang tidak mempunyai bentuk tertentu dari segi rangkap, jumlah baris, sama ada mempunyai irama ataupun tidak. Antara ciri seloka adalah mengejek, menyindir secara serius atau jenaka mahupun mengkritik tingkah laku dan sifat negatif seseorang ataupun sekelompok masyarakat.

Menurut Kamus Dewan edisi ke-4, seloka ialah sejenis puisi yang mengandungi ajaran seperti sindiran mahupun jenaka. Kata seloka berasal dari bahasa Sanskrit iaitu ‘Sloka’. Seloka kebiasaannya ditulis dua atau empat baris dan terkadang seloka juga ditulis lebih dari empat baris. Satu ciri penting bagi seloka adalah ia mempunyai maksud mengejek, menyindir secara serius atau jenaka, mengkritik tingkah-laku dan sifat negatif.

Masyarakat Melayu mencipta seloka untuk mencerminkan rasa tidak puas hati mereka terhadap seseorang yang digambarkan melalui seloka. Seperti Seloka Pak Kaduk diterjemahkan sebagai cerita yang memberi iktibar kepada segenap lapisan masyarakat dahulu dan sekarang bahawa Pak Kaduk bernasib malang akibat daripada kejahilan dirinya sendiri.

Antara contoh seloka yang terdapat dalam kesusteraan Melayu lama termasuklah Seloka Pak Kaduk, Seloka Pak Pandir dan Seloka Emak Si Rendang.
Seloka Pak Kaduk

    Aduhai malang Pak Kaduk,
    Ayamnya menang kampung tergadai,
    Ada nasi dicurahkan,
    Awak pulang kebuluran,
    Mudik menongkah surut,
    Hilir menongkah pasang,
    Ada isteri dibunuh,
    Nyaris mati oleh tak makan,
    Masa belayar kematian angin,
    Sauh dilabuh bayu berpuput,
    Ada rumah bertandang duduk.

No comments:

Post a Comment