Friday 9 December 2011

Morfologi


Kajian tentang kata dan pembentukan kata, kelas kata dan imbuhan. Pembentukan kata ialah proses membentuk sesuatu perkataan. Perkataan dalam sesuatu bahasa mengandungi bentuk. Yang dikatakan bentuk perkataan ialah rupa unsur tatabahasa. Perkataan dalam bahasa Melayu dapat dijeniskan kepada empat bentuk, iaitu kata tunggal, kata terbitan, kata ganda, dan kata majmuk. Contohnya:

Batu ( kata tunggal )
Batuan ( kata terbitan )
Batu-batu ( kata ganda )
Kepala batu ( kata majmuk)
Kata tunggal
Dari segi istilah, kata tunggal ialah bentuk kata yang terdiri daripada hanya satu bentuk dasar iaitu yang tidak menerima apa-apa bentuk imbuhan atau kata dasar yang lain.  Misalnya, kereta, tidur, dan cantik merupakan bentuk kata tunggal yang tidak menerima apa-apa imbuhan, tidak digandakan dan tidak pula bergabung dengan kata dasar yang lain bagi membentuk kata majmuk. Akronim juga termasuk dalam jenis kata tunggal. Kata akronim ialah bentuk yang dihasilkan melalui pencantuman bunyi-bunyi pertama dalam sejumlah perkataan, atau pencantuman bahagian-bahagian daripada beberapa perkataan untuk membentuk satu perkataan baharu. Harus diingat, akronim merupakan bentuk yang sedap bunyinya apabila disebut seperti ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia), Proton (Perusahaan Otomobil Nasional ).

Kata Terbitan

Kata terbitan ialah bentuk kata yang mengandungi kata dasar yang mendapat atau menerima imbuhan, baik awalan, sisipan, akhiran, atau apitan. Contohnya, pada kata membeli, kata ini mempunyai awalan mem- dan kata dasar beli. Gabungan kata dasar beli dan imbuhan mem- menghasilkan kata terbitan membeli. 

Kata Majmuk

dua atau lebih kata yang digabungkan dan membawa makna baharu yang berbeza dengan maksud asal. Misalnya, rumah sakit tidak menggambarkan makna bagi binaan untuk tempat tinggal tetapi merujuk kepada rumah untuk merawat orang sakit atau hospital.

Kata Ganda
Kata ganda atau kata ulang ialah bentuk kata yang dihasilkan dengan menggandakan atau mengulangi kata dasar sama ada kata ganda tersebut diulang secara keseluruhan atau pada bahagian-bahagian tertentu, dan dengan imbuhan atau tanpa imbuhan. Contohnya:

angan menjadi angan-angan (seluruh kata dasar diulang)
setiausaha menjadi setiausaha (seluruh kata majmuk diulang)
makanan menjadi makanan-makanan (seluruh kata berimbuhan diulang)
rebut menjadi berebut-rebut (sebahagian kata diulang)
bola menjadi bebola (sebahagian kata diulang)


 

No comments:

Post a Comment