Wednesday 7 December 2011

Peribahasa


Menurut Pendeta Za'ba, peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya.
Peribahasa tradisi merujuk kepada peribahasa yang digunakan dalam pertuturan sehari-harian atau secara bercetak sebelum tarikh kemerdekaan. Peribahasa moden pula merujuk yang dicipta selepas tarikh tersebut. Peribahasa merupakan sabahagian daripada bahasa kiasan dalam budaya Melayu.
Keindahan peribahasa merupakan cara sesuatu peribahasa itu digunakan, yang membina minda. Tetapi pada masa kini, pelbagai peribahasa dicipta yang memaksa pelajar-pelajar menghafalkan seberapa banyak peribahasa seperti robot.
Peribahasa yang baru dicipta ini memberikan peluang kepada penerbit buku melariskan buku masing-masing dengan mengisi buku masing-masing dengan peribahasa moden yang janggal, dengan setiap penerbit menghasilkan peribahasa masing-masing.
Selain itu, peribahasa yang baru dicipta ini juga mendorong kepada merosakkan bahasa, kerana sesetengah daripadanya hanya dibuat secara serkap jarang tanpa sebarang penyeliaan oleh sebarang pihak.
Sebagai contoh (ciptaan sendiri):
Seperti tetikus tanpa wayar / Seperti tetikus lepas tambatan.
Penjelasan:Tetikus dahulu terikat kepada komputer dan tidak bebas bergerak. Bagaimanapun, tetikus moden tanpa wayar bebas bergerak tanpa perlu terikat dengan komputer.
Ertinya: Seseorang yang dahulunya terikat kini bebas hendak kemana-mana sahaja.
Contoh penggunaan: Aminah kini bebas pergi ke disko semenjak dia keluar dari rumah keluarganya dan berpindah di kampung kebandar, seperti tetikus lepas tambatan.
Peribahasa memainkan peranan yang penting dalam masyarakat di negara kita terutamanya di kalangan orang-orang Melayu. Peribahasa digunakan untuk menyampaikan sesuatu nasihat, teguran, atau ingatan secara kiasan atau sindiran.
Pada hemat saya, dengan menggunakan peribahasa banyak teguran, nasihat, dan sindiran dapat disampaikan tanpa menimbulkan rasa marah atau kecil hati pada orang lain.
Peribahasa wujud apabila masyarakat Melayu menyedari betapa susahnya untuk memberikan nasihat atau teguran secara terus-terang kepada orang lain tanpa menyinggung perasaannya. Lantas, mereka mula mengumpamakan sesuatu perkara dengan sesuatu yang lain agar maksud yang ingin disampaikan dapat ditafsirkan oleh semua orang. Seringkali perkara yang diumpamakan itu berkaitan secara langsung dengan anggota masyarakat dan alam sekeliling mereka.
Umumnya, peribahasa masih terus digunakan dalam kehidupan masyarakat Melayu sehingga hari ini. Peribahasa dapat dibahagikan kepada beberapa jenis seperti simpulan bahasa, perbandingan, perumpamaan, pepatah, bidalan, dan kata-kata hikmat. Antara beberapa contoh peribahasa termasuklah “Carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum juga”, “Masa itu emas”, “Ibarat burung, mata lepas badan terkurung”, “Bagai aur dengan tebing”, “Seperti api dalam sekam”, “Seperti anak ayam kehilangan induk”, “Hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati”, “Bahasa Jiwa Bangsa”, “Bertepuk sebelah tangan tak akan berbunyi”, “Ukur baju pada badan sendiri”, dan “Muafakat Membawa Berkat”.
Sesungguhnya tujuan utama penciptaan peribahasa adalah untuk memberikan pengajaran kepada masyarakat pada zaman dahulu kala. Selain itu, peribahasa berfungsi sebagai pengawal sosial. Hal ini bermaksud masyarakat dahulu kala sering menegur anggotanya dengan cara berkias ibarat melalui peribahasa. Dengan cara demikian, orang yang ditegur tidak mudah tersinggung. Begitulah juga dengan pihak penegur yang lazimnya terdiri daripada orang tua-tua, tidak akan berasa segan untuk berbuat demikian apabila diperlukan. Misalnya, apabila seorang tua yang ingin menegur sikap bebas anak gadisnya akan menggunakan peribahasa yang berbunyi “takkanlah perigi yang mencari timba”. Dalam konteks lain pula, seorang guru akan menasihati anak muridnya yang berasa malu untuk bertanya sesuatu dengan menggunakan peribahasa ini, “malu bertanya sesat jalan, malu berdayung perahu hanyut”.


Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat
Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.

2. Darah daging
Maksud : Anak dan saudara-mara daripada keturunan sendiri.

3. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
Maksud : mengalami susah senang bersama-sama.

4. meninggi diri
Maksud : Sombong

5. bermuka dua
Maksud : Tidak jujur.

6 baik hati
Maksud : Bersikap baik dan penyayang (suka menolong).

7. tulang belakang
Maksud : Punca kekuatan/ orang harapan

8. bara yang digenggam biar sampai jadi arang
Maksud : Mengerjakan sesuatu yang sukar hendaklah sabar, sehingga mencapai kejayaan.

9. bagai kaca terhempas ke batu
Maksud : Sangat sedih atau kecewa.

10. melentur buluh biarlah dari rebungnya
Maksud : Mendidik anak biarlah sejak mereka kecil lagi.

11. duduk sama rendah, berdiri sama tinggi
Maksud : dua orang atau pihak yang sama darjat dalam adat

12. seperti lembu dicucuk hidung
Maksud : Orang yang selalu menurut kemahuan orang

13. yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing
Maksud : Bersama-sama menghadapi atau mengerjakan sesuatu.

14. dayung sudah di tangan, perahu sudah di air
Maksud : segala-gala yang dikehendaki sudah diperoleh.

15. terang hati
Maksud : Lekas pandai.

16. rendah hati
Maksud : Tidak sombong

17. murah hati
Maksud : Pemurah.

18. tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas
Maksud : Adat yang tidak berubah; sesuatu yang tetap utuh.

19. Tangan kosong
Maksud : Hampa.

No comments:

Post a Comment