Saturday 10 December 2011

Pantun


Bahasa memainkan peranan penting dalam menyampaikan sesuatu hasrat dan bahasa yang baik akan dapat difahami maksud  sama ada bahasa yang tersurat dan tersirat. Bahasa yang tersurat adalah yang tertulis dan dapat difahami secara terus, manakala bahasa tersirat adalah maksud yang berlapis dan mempunyai makna yang lain.

Begitulah, pantun yang dahulu biasanya disampaikan sewaktu orang Melayu berkebun, bersawah, serta mengadakan majlis merisik, meminang dan nikah kahwin.  Pantun sebati dengan adat dan budaya kehidupan masyarakat Melayu. Ia terangkum dalam pantun adat dan resam manusia, agama dan kepercayaan, nasihat dan pendidikan, kembara dan perantauan dan percintaan. Pantun sangat kaya dengan nilai-nilai keindahan bahasa jika dikaji dan dihayati.

Bahasa dalam pantun juga terdapat dua maksud antaranya maksud tersurat dan juga tersirat. Tetapi pada kebiasaannya pada pembayang atau sampiran pantun ia banyak menggunakan bahasa tersurat dan dalam maksud atau makna ia membawa dan menggunakan bahasa yang tersirat. Bahasa khususnya Bahasa Melayu nilainya amat tinggi tidak boleh dijual beli, seperti kata pantun di bawah ini:

                      Anak Cina bertimbang madat,
                             Dari Makasar langsung ke Deli;
                      Hidup di dunia biar beradat,
                             Bahasa tidak dijual beli.
                    
                      Makan sirih berpinang tidak,
                             Pinang ada di bawah tangga;
                      Makan sirih mengenyang tidak,
                             Tapi tanda budi dan bahasa.

                      Tingkap papan kayu bersegi,
                              Sampan sakat di Pulau Angsa;
                       Indah  tampan kerana budi,
                              Tinggi bangsa kerana bahasa.

 Hakikatnya, bahasa yang indah sangat penting dalam penciptaan pantun-pantun Melayu. Tanpa bahasa yang indah, pantun yang dikarang atau dibacakan tidak terasa keindahannya. Oleh itu, para pencipta pantun dan pemantun zaman lampau sangat bijaksana memilih kata-kata tentang penggunaan bahasa yang berkaitan dengan alam, kehidupan, adat istiadatdan budaya masyarakat Melayu. Melalui pemerhatian yang teliti, penelitian yang rapi serta pengalaman baharullah sesebuah pantun itu dicipta dengan fikiran yang bijaksana.




No comments:

Post a Comment